Friday, 15 July 2011

Kucing Jantan

Kucing Jantan
KETIKA aku sedang duduk-duduk bersendirian minum teh tarik di kedai mamak, terlihat seekor kucing sedang mengiau-ngiau dengan kuat, jalan ke sana sini, dengan rasa tidak selesa. Tentunya mencari sesuatu.
Seorang pelanggan di kedai itu mencampakkan sedikit sisa ikan kepadanya, tapi dia tidak menghiraukan. Dia terus mengiau-ngiau mencari sesuatu. Nampaknya yang dicari bukannya makanan.
Setelah hidup di dunia dan bergaul dengan kucing sejak kecil, tentulah dapat diagakkan bahawa yang dicari oleh kucing ini ialah bukannya makanan, tetapi kucing lain.
Pastinya ia seekor kucing jantan yang sedang mencari kucing betina. Dengan wajah serius, otak kucing jantan ini fokus, iaitu mencari kucing betina.
Bukanlah setiap masa begini, tetapi pada masa-masa mengawan, otaknya akan bergelegak dan badannya menjadi rimas untuk melepaskan sesuatu kepada kucing betina.
Adakah suatu kesalahan bagi kucing jantan ini mencari kucing betina? Tentulah tidak. Sememangnya Tuhan sudah menjadikan kucing jantan ini bersifat demikian. Bila sampai masanya maka kucing jantan akan mencari betina.
Entah-entah dalam keadaan macam ini, makanan pun sudah bukan menjadi keutamaan bagi kucing jantan. Yang menjadi keutamaan bagi kucing jantan ialah kucing betina.
Dalam mencari-cari kucing betina itu, terserempaklah ia dengan kucing jantan yang lain, maka mulalah berlaku pergaduhan. Betullah tidak ada kesetiakawanan antara kucing-kucing jantan.
Bila musim mengawan, tidak ada persaudaraan antara kucing jantan, tetapi sebaliknya persaingan.
Kedua-duanya tahu, jika muncul kucing betina, maka pasti ia menjadi rebutan, dan siapa yang kuat, dialah yang dapat. Jadi pergaduhan mesti berlaku antara kucing jantan bagi merebut kucing betina.
Maka luka-lukalah kucing-kucing jantan. Sesiapa yang kalah atau berasa lemah, maka ia pasti beredar dari kawasan itu. Sebenarnya apa yang berlaku pada musim mengawan, kucing-kucing jantan sedang berebut wilayah.
ditandai
Satu wilayah hanya ada satu kucing jantan. Wilayah itu ditandai dengan air kencing kucing ini yang baunya berbeza-beza.
Bagi kucing jantan yang ikut undang-
undang ini, mereka akan patuh apabila dikesan bahawa di sesuatu wilayah itu sudah ada kucing jantan, maka sebab itu beredarlah.
Tetapi bagi yang berasa dirinya besar, dia langgarlah undang-undang ini, maka berlakulah pergaduhan dan mana-mana kucing jantan yang kalah, maka terpaksalah ia berundur.
Jika kebetulan dalam satu-satu wilayah itu terdapat kucing betina, maka ia adalah milik kucing jantan yang menguasai wilayah itu.
Dalam keadaan ini, kucing betina relaks je. Ia hanya tergoda apabila terdengar panggilan mengiau-ngiau kucing jantan. Jika terdengar, maka terangsanglah ia untuk keluar rumah.
Tetapi apabila kucing betina ini bertemu dengan kucing jantan, maka berlakulah pertengkaran. Mula kecil-kecil, kemudian besar.
Pertengkaran itu berbunyi seperti ini; “Mau, tak mau, mau, tak mau, mau, tak mau”. Yang jantan mau. Yang betina, mula-mula tak mau. Tapi lama-lama mau.
Selepas proses ini selesai. Legalah si kucing jantan, tidaklah dia mengiau-ngiau lagi. Bolehlah dia tidur dan tidur. Dia tidak lagi mengendahkan kucing betina sehinggalah apabila perasaan itu datang kembali. Bila musim mengawan berlalu, kerjanya hanya makan dan tidur, serta menjilat bulu-bulunya.
Bagi kucing betina, apabila saja ia bunting, tidaklah ia menghiraukan langsung kucing jantan walaupun dipanggil-panggil.
Fokusnya adalah pada anaknya. Ia makan banyak-banyak pun untuk anak-anaknya. Hidupnya akan ditumpukan pada anak-anaknya hinggalah anak-anak kucing itu cukup besar dan boleh berdikari tanpa memerlukan susu dan jilatan ibunya.
Kucing itu mamalia. Manusia pun mamalia. Tetapi manusia ada agama, perikemanusiaan, undang-undang, adat resam, kebiasaan hidup bermasyarakat.
Tetapi terasnya serupa juga. Kucing jantan cari kucing betina. Lelaki mencari perempuan. Lelaki tentulah berbeza daripada perempuan.
“Mengapalah orang lelaki ini, asyik-asyik fikir benda itu. Fikirlah tentang anak-anak, masa depan keluarga,” marah orang perempuan.
Mana hendak sama. Lelaki dan perempuan mempunyai keutamaan berbeza. Melayari bahtera perkahwinan adalah seperti mengemudi kapal layar. Yang suami tarik ke kanan, yang isteri tarik ke kiri, untuk seimbangkan kapal. Masing-masing mempunyai keutamaan berbeza dan bertentangan.
Kalau lelaki dan perempuan mempunyai keutamaan yang serupa, maka ia seolah-olah kedua-duanya menarik kapal layar ke satu arah saja dan tentunya boleh menumbangkan kapal layar ke laut.
Tak faham? Maksudnya begini. Perempuan akan sentiasa menyatakan bahawa lelaki tidak betul. Tetapi lelaki buat saja apa yang dia rasa hendak buat walaupun perempuan kata dia tidak betul.
Sudah tentu perempuan akan sentiasa kata apa yang lelaki buat tidak betul kerana kedua-duanya mempunyai ukuran betul atau tidak betul yang berbeza.

0 TarBaekkk: